Dengan berbekalkan minat yang mendalam dan percaya terdapat banyak peluang yang belum diterokai dalam bidang ini, Halroy Farm telah membuka sebuah ladang pembiakan kambing di daerah Hulu Terengganu, Terengganu pada Jun 2006. Bermula dengan 40 ekor kambing betina (induk) dan seekor jantan (pejantan). Hingga bulan Disember, ia telah membiak hingga 65 ekor jumlah keseluruhan dengan jualan 17 ekor. Hingga tempoh ini, jualan terbahagi kepada dua jenis iaitu jualan untuk sembelihan dan baka.
Melihat kepada kerancakan industri ini dan percaya ia akan terus berkembang, pengusaha bercadang untuk meningkatkan keupayaan mengeluarkan produk ternakan ini di masa akan datang. Untuk itu, pengusaha ingin membawa masuk 100 ekor kambing induk dan empat pejantan Boer. Dengan pembesaran projek ini, ia diharap menjadi pemangkin kepada industri ternakan kambing pedaging di Malaysia. Ia juga dapat memberi impak positif kepada tahap sara diri keperluan daging kambing di Malaysia yang ketika ini hanya berada sekitar 8-10 peratus.
Dari segi pengeluaran, ia akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
a. keperluan pengembangan projek
b. jualan untuk sembelihan
c. jualan untuk baka (termasuk induk)
Persetujuan telah pun dibuat dengan beberapa syarikat di pantai timur semenanjung untuk memasarkan hasil produk untuk sembelihan. Dari segi jualan baka, sasaran utama ialah para penternak di negeri Terengganu. Ini kerana di negeri ini, aktiviti penternakan kambing sedang berjalan dengan rancaknya dan menjadi agenda pertanian utama pihak kerajaan.
Dengan sokongan kerajaan yang memberikan keistimewaan status perintis (pengecualian cukai selama 10 tahun) kepada projek seumpama ini, ia akan memacu projek secara positif dari segi pengukuhan ekonomi projek. Dengan margin keuntungan bersih lebih dari 30% secara puratanya, projek ini mampu untuk berkembang luas di masa akan datang. Pengembangan projek ini akan akan menjadi sangat ketara apabila pejantan dan induk bertambah dari tahun ke tahun.
Kertas kerja ini merangkumi segala maklumat yang diperlukan meliputi konsep perniagaan, latar belakang dan hala tuju projek, strategi pemasaran, pengeluaran dan juga aspek kewangan.